Amaran ALLAH S.W.T.


Gambar Ilustrasi

BANJIR kilat, gempa bumi, ribut petir, taufan dan pelbagai lagi bencana alam yg berlaku di atas muka bumi ini adalah amaran daripada Allah SWT agar manusia beringat.

Selain daripada itu, di dalam Al-Quran, Allah SWT banyak menceritakan kisah umat-umat terdahulu supaya kita mengambil pengajaran.

Contohnya, sebanyak 9 kali Allah SWT menceritakan di dalam surah-surah berbeza dengan gaya bahasa yang berbeza mengenai kisah kaum Nabi Lut yang lebih menyukai hubungan sejenis berbanding perkahwinan yang dihalalkan oleh Allah SWT, lalu Allah SWT menurunkan bala kepada mereka yang kesannya boleh dilihat sehingga ke hari ini. Berikut adalah ayat-ayat tersebut:

1. Surah Al-A’raf (80-84)
Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? (80) Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. (81) Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri. (82) Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah dia dari orang-orang yang dibinasakan. (83) Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan. (84)

2. Surah Hud (77-83)
Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut dia merasa dukacita dengan kedatangan mereka dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: Ini adalah hari yang amat mencemaskan. (77) Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)? (78) Mereka menjawab: Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa yang kami kehendaki. (79) Nabi Lut berkata: Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu). (80) (Mendengarkan yang demikian) tetamunya berkata: Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya dia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana dia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu Subuh; bukankah waktu Subuh itu sudah dekat? (81) Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. (82) Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka) dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu. (83)

3. Surah Al-Hijr (57-77)
Nabi Ibrahim bertanya pula: Apa hal kamu wahai utusan Tuhan? (57) Mereka menjawab: Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (untuk membinasakan mereka). (58) Melainkan keluarga Nabi Lut; sesungguhnya kami akan menyelamatkan mereka semuanya. (59) Kecuali isterinya; kami telah tentukan (menurut keputusan Tuhan) sesungguhnya dia dari orang-orang yang tinggal (menerima kebinasaan). (60) Maka apabila (malaikat-malaikat) utusan itu datang kepada kaum Nabi Lut, (61) Nabi Lut berkata: Sesungguhnya kamu suatu kaum yang tidak dikenali (serta tidak diketahui baiknya kedatangan kamu). (62) Mereka menjawab: (Kedatangan kami bukan untuk mendukacitakanmu) bahkan kami datang kepadamu untuk membawa azab yang mereka ragu-ragukan kebenarannya. (63) Juga membawa kepadamu perkara yang benar (tentang kebinasaan mereka) dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar. (64) Oleh itu, bawalah pergi keluargamu pada waktu malam serta ikutlah di belakang mereka dan janganlah seseorang pun di antara kamu berpaling (ke belakang); serta pergilah terus ke arah yang diperintahkan kamu menujunya. (65) Dan Kami wahyukan kepadanya tentang kesudahan perkara itu; iaitu mereka akan dibinasakan pada waktu pagi, sehingga mereka punah ranah dan terputus keturunannya. (66) Dan (semasa kedatangan mereka) datanglah penduduk bandar itu dengan gembira. (67) Nabi Lut berkata: Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepadaku. (68) Dan takutlah kamu kepada Allah serta janganlah kamu menghinakan daku. (69) Mereka menjawab: Bukankah kami telah melarangmu jangan menerima sebarang tetamu dari orang ramai (atau memberi perlindungan kepada mereka)? (70) Nabi Lut berkata: Di sini ada anak-anak perempuanku, kalaulah kamu mahu melakukan (secara halal). (71) Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka. (72) Akhirnya merekapun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. (73) Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar. (74) Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya. (75) Dan sesungguhnya negeri kaum Lut yang telah dibinasakan itu, terletak di jalan yang tetap (dilalui orang). (76) Sesungguhnya keadaan yang demikian, mengandungi satu tanda yang memberi kesedaran kepada orang-orang yang beriman. (77)

4. Surah Al-Anbiya’ (74)
Dan kepada Nabi Lut, Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu dan Kami selamatkan dia dari bandar yang penduduknya selalu melakukan perkara-perkara yang keji; sesungguhnya mereka itu adalah kaum jahat, yang fasik, derhaka. (74)

5. Surah As-Syuara’ (160-175)
(Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka). (160) Ketika saudara mereka Nabi Lut, berkata kepada mereka: Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya. (161) Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu. (162) Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah dan taatlah kepadaku. (163) Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam. (164) Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, (165) Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)! (166) Mereka menjawab: Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar! (167) Nabi Lut berkata: Sesungguhnya aku dari orang-orang yang bencikan perbuatan kamu yang keji itu. (168) (Nabi Lut berdoa): Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dan keluarga serta pengikut-pengikutku dari apa yang dilakukan oleh golongan (yang jahat) itu. (169) Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya (semuanya); (170) Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang kena azab itu. (171) Kemudian Kami hancurkan yang lain (yang menentang Nabi Lut). (172) Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran. (173) Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman. (174) Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (175)

6. Surah Al-Naml (54-58)
Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya? (54) Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya). (55) Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: Usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci. (56) Lalu Kami selamatkan Nabi Lut dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya, kecuali isterinya, Kami takdirkan dia menjadi dari golongan yang tertinggal dalam azab. (57) Dan Kami hujani mereka dengan hujan yang membinasakan, maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa orang-orang yang telah diberi amaran. (58)

7. Surah Al-Ankabut (28-35)
Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi Lut ketika dia berkata kepada kaumnya: Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorangpun dari penduduk alam ini sebelum kamu. (28) Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perhimpunan kamu? Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar. (29) Nabi Lut berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, tolonglah daku terhadap kaum yang melakukan kerosakan (menderhaka). (30) Dan ketika datang (malaikat) utusan kami kepada Nabi Ibrahim dengan membawa berita yang menggembirakan, mereka berkata: Sebenarnya kami hendak membinasakan penduduk bandar ini, sesungguhnya penduduknya adalah orang-orang yang zalim. (31) Nabi Ibrahim berkata: Sebenarnya Lut ada di bandar itu. Mereka menjawab: Kami mengetahui akan orang-orang yang tinggal di situ. Sesungguhnya kami akan menyelamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) kecuali isterinya, dia adalah dari orang-orang yang dibinasakan. (32) Dan ketika datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut, dia merasa dukacita dengan kedatangan mereka dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya) dan (setelah melihatkan halnya yang demikian), utusan-utusan itu berkata: Janganlah engkau takut dan janganlah berdukacita, sesungguhnya kami akan menyelamatkanmu dan keluargamu (serta pengikut-pengikutmu) kecuali isterimu, dia adalah dari orang-orang yang dibinasakan. (33) Sesungguhnya kami (diutuskan) untuk menurunkan atas penduduk bandar ini azab dari langit, disebabkan mereka melakukan kejahatan (kufur dan maksiat). (34) Dan demi sesungguhnya, Kami telah (binasakan bandar itu dan telah) tinggalkan bekas-bekasnya sebagai satu tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang-orang yang mahu memahaminya. (35)

8. Surah As-Saaffat (134-138)
Dan sesungguhnya Nabi Lut adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (133) (Ingatkanlah peristiwa) ketika kami selamatkan dia dan keluarga serta pengikut-pengikutnya semuanya. (134) Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang dibinasakan. (135) Kemudian Kami hancurkan yang lain (dari pengikut-pengikut Nabi Lut). (136) Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): Berulang-alik (melalui bekas-bekas tempat tinggal) mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi. (137) Dan juga pada waktu malam; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?. (138)

9. Surah Al-Qamar (33-40)
(Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan oleh Rasulnya). (33) Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu, kecuali keluarga Nabi Lut, Kami selamatkan mereka (dengan menyuruh mereka keluar dari situ) pada waktu jauh malam, (34) Sebagai limpah kurnia dari Kami. Demikianlah kami membalas orang-orang yang bersyukur. (35) Dan demi sesungguhnya! Nabi Lut telah memberi amaran kepada mereka mengenai azab seksa Kami; dalam pada itu, mereka tetap mendustakan amaran-amaran itu. (36) Dan demi sesungguhnya! Mereka telah memujuk Nabi Lut mengenai tetamunya, lalu Kami hapuskan biji mata mereka, serta (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu! (37) Dan demi sesungguhnya! Mereka telah ditimpa azab yang kekal pada pagi-pagi hari (esoknya). (38) Lalu (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu! (39) Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (40)

Tidakkah kita takut dengan bala Allah SWT!?
Adakah kita berasa selamat daripada kemurkaan dan azab Allah SWT!?

Ustaz Abdullah Hussen
Aktivis Isma

Credit: Penulis
Sumber: Whatsup

No comments:

Post a Comment

Hikmah Soleh

Siapa yang memperbaiki keadaan dirinya dikala dalam keadaan sunyi maka Allah swt akan perbaiki dirinya dikala dalam keadaan ramai, siapa yan...